Jika cara bersuci tidak dijaga, ibadah kita tak akan sampai kepada Allah dengan gilang-gemilang dan kita tak akan selamat dari murka-Nya.Demikian sempurnanya Islam, sampaikan soal cara dan bagaimana kita hendak (buang air) dan istinjak pun dititik-beratkan, bahkan diberi panduan. Cuba cari mana agama selain Islam yang menyuluh seluruh aspek dan rutin seharian penganutnya! Sampai kepada sekecil-kecil perkara pun diberi perhatian yang cukup besar.Tetapi di sudut yang lain, kita sebagai umat Islam pula, adakah telah menghayati sepenuh dan sesungguhnya segala panduan yang dibentangkan itu? Atau apakah kita hanya sekadar berbangga dengan kesyumulan Islam itu sahaja tanpa turut menjadikan praktik seharian kita syumul persis Islam juga?Untuk lebih fokus, bagaimana cara kita bersuci dari hadas kecil dan hadas besar kita? Selama ini, apakah cara kita beristinjak dari kencing dan berak, sudah okey? Sudah menepati sunnah Rasulullah s.a.w.? Apakah kita benar-benar menghalusinya? Atau kita main tembak, main tibai dan hentam saja.Maknanya, kita kena pelajari dan amalkan sungguh-sungguh segala ilmu yang telah kita pelajari hatta dalam bab bersuci ini sekalipun. Kena ulangkaji dan perkemas-kinikan segala tajuk dan perkara yang ada di dalamnya. Tak boleh main ikut-ikut dan main logik sahaja, mesti berasas dan berpandukan ilmu dan tunjuk ajar alim ulama.Sesetengah orang biasa juga berkata, "Lecehlah, asyik-asyik cerita bab taharah (bersuci). Bila nak meningkat dan berkembang?" Betul, kita boleh sahaja meningkat dan berkembang menceritakan apa jua tajuk dan fasal di dalam ilmu Islam. Tidak ada hadnya, tetapi jangan lupa bahawa kita hendaklah menjadikan setiap bab atau fasal atau ilmu yang kita pelajari itu kait-mengait dan saling terhubung di antara satu sama lain. Ilmu-ilmu itu sama sekali tidak boleh terpisah dalam praktiknya. Contoh, apabila kita mempelajari tajuk puasa ataupun sedang menghadapi ibadah berpuasa, jangan pula soal bersuci atau solat terabai dan tidak terurus.Bukankah suci dari najis dan hadas pada diri dan pakaian itu merupakan syarat sahnya solat seseorang? la menjadi kunci dan tiket kepada sahnya solat. Manakala solat pula menjadi kunci dan tiket ke syurga.Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kunci solat itu ialah bersuci." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi). Lihatlah tautan dan pertaliannya sekali lagi. Belum lagi tautan dan pertalian amalan-amalan atau ibadah-ibadah yang lain.Kalau tak beres soal bersuci, bermakna tak beres jugalah solat dan makan minum kita. Kita semua tentu tahu apa akan jadi dengan solat dan makan minum kita selepas itu. Solat dalam keadaan tidak bersuci bermakna kita belum lagi mendirikan solat. Makan minum yang tidak suci bermakna kita menelan najis atau menjamah yang haram. Apabila tiang agama tidak beres, ia akan melarat kepada semua urusan. Bayangkan...Pernah sekali saya mendengar rungutan seorang siak yang sedang membersihkan kawasan berwuduk di sebuah masjid: "Nak cakap pun tak kena, tak cakap pun tak kena. Kalau nak diikutkan dah datang berjemaah kat masjid ni dah berbelas-belas tahun, tapi kalau dalam bab kencing, main tembak sahaja. Tempat wuduk pun dipakai untuk kencing. Entah-entah masih bawa 'sisa' kencing ke dalam solat." Wal'iyazubillah.Memang benar kata siak tu. Kita tak boleh pandang remeh hal-hal macam ni. Dalam kita dok pasang harapan agar Allah terima dan nilai ibadah kita, kena sertakan juga rasa 'takut' kalau-kalau ibadah kita tak sampai atau tak diterima oleh Allah s.w.t. kerana banyak sangat lompang dan cacat celanya.Masih ada ramai di kalangan umat Islam yang mengabaikan tatacara dan adab ketika hendak kencing. Cuba bayangkan orang suka kencing berdiri. Apakah air kencingnya tidak terpercik mengenai diri dan pakaiannya? Walhal kita nak bersolat dan pakaian kita pun hendak dibawa bersolat. Ada orang yang basuhan kencingnya amat cincai sekali. Ada pula yang tidak berdehem untuk mengeluarkan sisa-sisa kencing sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Pendek kata, soal kencing saja pun, banyak masalahnya. Yang sedihnya, contoh-contoh tersebut turut berleluasa di kalangan ahli jemaah di masjid dan surau. Apa lagi yang langsung tidak bertandang ke sana. Lalu, "Apa nak jadi?". Nanti sia-sia sahaja jadinya. Sangka kita dah bersolat, rupanya belum lagi.Pasal kencing yang tak sejat dan tak dipastikan kebersihannya, nanti ada orang atau 'ahli ibadah' yang bakal diazab Allah di alam kubur. Na'uzubillahi min zalik. Demikianlah yang dikhabarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: "Kami berjalan bersama-sama Rasulullah s.a.w. lalu kami melalui di atas dua kuburan. Maka baginda berhenti dan kami pun turut berhenti bersamanya. Kemudian warna tubuh Nabi jadi berubah hingga bergetar lengan bajunya. Lalu kami bertanya: "Ada apakah wahai Rasulallah?" Baginda bersabda: "Apakah kalian tidak mendengar apa yang aku dengar?" Lalu kami bertanya: "Apakah itu ya Nabiyallah?" Baginda lalu bersabda:"Ini adalah dua orang lelaki yang diseksa di dalam kuburnya dengan seksaan yang pedih kerana dosa (yang dianggap) mudah (ringan)." Kami bertanya:"Di dalam masalah apakah itu?" Lalu baginda bersabda: "Seorang daripadanya tidak memelihara (membersihkan diri) dari kencingnya manakala seorang lagi suka menyakitkan hati jirannya dengan lidahnya, ia mundar-mandir ke sana ke mari di antara mereka (bertujuan) menghamburkan fitnah..." Maka baginda berdoa dengan dua pelepah kurma lalu diletakkan pada setiap kubur (satu pelepah). Kami bertanya: "Apakah itu dapat memberi manfaat kepada mereka?" Baginda bersabda lagi: "Ya, diringankan seksa dari kedua mereka selama mana kedua-dua pelepah tamar itu masih basah (belum kering)."Setelah membaca hadis ini, harap perhatikanlah diri kita serta cara bersuci ahli keluarga kita. Agar ibadah kita sampai kepada Allah dengan gilang-gemilang. Agar kita semua 'terselamat dari kemurkaan Allah s.w.t. dan asbab-asbabnya sama ada di dunia ini, di alam barzakh juga di akhirat sana.