Akhlak Nabi bagai Al-Quran

SELEPAS Nabi Muhammad s.a.w wafat, kota Madinah dipenuhi dengan tangisan umat Islam. Mereka antara percaya dengan tidak percaya mengenai berita Rasulullah sudah meninggalkan sahabat.Kemudian, seorang Arab badui menemui Saidina Umar Al Khattab dan memintanya menceritakan kepadanya mengenai akhlak nabi.Saidina Umar menangis mendengar permintaan itu. Dia tidak sanggup menceritakan apa-apa lalu menyuruh Arab badui itu menemui Bilal bin Rabbah.Selepas diajukan permintaan sama, Bilal pun menangis, dia juga tidak sanggup. Bilal hanya dapat menyuruh orang itu menjumpai Saidina Ali bin Abi Talib. Arab badui itu mulai hairan. Bukankah Saidina Umar seorang sahabat lama nabi? Begitu pula Bilal. Bukankah dia sahabat setia nabi? Mengapa mereka tidak sanggup menceritakan akhlak nabi.Dengan cemas, Arab badui itu menemui Saidina Ali bin Abi Talib. Ali dengan linangan air mata berkata: “Ceritakan kepadaku mengenai keindahan dunia ini.” Arab badui itu menjawab: “Bagaimana mungkin aku dapat menceritakan segala keindahan dunia ini...”Ali menjawab: “Engkau tidak sanggup menceritakan keindahan dunia padahal Allah s.w.t. berfirman bahawa sungguh dunia ini kecil dan hanyalah senda gurau belaka. Bagaimana aku dapat melukiskan akhlak nabi sedangkan Allah berfirman: “Sesungguhnya Muhammad memiliki budi pekerti yang agung.” (Surah Al-Qalam: Ayat 4)Arab badui itu lalu menemui Saidatina Aisyah. Isteri nabi yang sering dipanggil Khumairah oleh nabi hanya menjawab: “Khuluquhu al-Quran” (Akhlaknya Muhammad itu al-Quran). Aisyah seakan-akan ingin mengatakan bahawa nabi bagaikan al-Quran berjalan. Arab badui itu tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Saidatina Aisyah. Bagaimana, dia segera mengetahui akhlak nabi, jika perlu melihat seluruh kandungan al-Quran.Aisyah akhirnya menyarankan agar Arab badui itu membaca dan menyemak Surah Al-Mukminun: Ayat 1 hingga 11. Bagi sahabat, masing-masing memiliki kesan tersendiri daripada pergaulannya dengan nabi. Kalau mereka diminta menjelaskan seluruh akhlak nabi, linangan air matalah jawapannya kerana terkenang akan junjungan.Paling tidak mereka hanya mampu menceritakan satu bahagian yang paling indah dan berkesan dalam interaksi mereka dengan nabi.Pada ketika lain, Saidatina Aisyah ditanya mengenai nabi. Aisyah hanya menjawab bahawa semua perilakunya indah. Ketika didesak lagi, Aisyah baru bercerita saat terindah baginya sebagai seorang isteri.“Ketika aku sudah berada di tempat tidur dan kami sudah masuk dalam selimut dan kulit kami sudah bersentuhan, suamiku berkata: “Ya Aisyah, izinkan aku untuk menghadap Tuhanku terlebih dahulu.”Nabi jugalah yang menyebabkan hati Aisyah khuatir kerana ketika menjelang subuh, Aisyah mendapati suaminya tiada di sampingnya. Aisyah keluar membuka pintu rumah. Alangkah terkejutnya apabila melihat suaminya tidur di depan pintu. Aisyah berkata: “Mengapa tidur di sini?” Nabi menjawab: “Aku pulang sudah larut malam. Aku tidak mahu mengganggu tidurmu sehingga aku tidak mengetuk pintu. Itulah sebabnya aku tidur di depan pintu.”Merenung kepada peristiwa di atas, tanyalah diri kita, bagaimana perilaku kita terhadap isteri kita?Nabi mengingatkan agar kita berhati-hatilah terhadap isteri kita kerana kita akan ditanya di hari akhir mengenainya. Sahabat turut memperlakukan isteri mereka dengan hormat. Mereka takut kalau wahyu turun dan mengecam mereka. Bagi sahabat lain, bahagian yang paling indah ialah ketika sahabat terbabit terlambat ke majlis nabi. Tempat sudah penuh sesak. Dia minta izin untuk mendapat tempat, namun sahabat yang lain tidak ada yang mahu memberinya tempat.Di tengah kebingungannya, Rasulullah memanggilnya. Rasulullah memintanya duduk di dekatnya. Tidak cukup dengan itu, Rasulullah pun membuka serbannya lalu diberikan pada sahabat itu untuk dijadikan alas tempat duduk.Sahabat itu dengan berlinangan air mata menerima serban itu, tetapi tidak menjadikannya alas duduk, sebaliknya mencium serban nabi.Bagaimana perasaan kita kalau orang yang kita hormati, pemimpin yang kita sanjung tiba-tiba melayani kita, bahkan memberikan serbannya untuk kita jadikan tempat alas duduk.Bukankah mendapat kad ucapan Selamat Aidilfitri daripada seorang ketua pejabat saja pun sudah membuat kita berasa sangat gembira? Begitulah akhlak nabi sebagai pemimpin, dia ingin melayani orang bawahannya.Bagaimana pula dengan diri kita? Kita adalah pemimpin, bahkan untuk lingkup paling kecil (keluarga) sekalipun, sudahkah kita meniru akhlak Rasulullah?Nabi juga terkenal sebagai seorang yang suka memuji sahabatnya. Kalau kita baca kitab hadis, kita akan kebingungan menentukan siapa sahabat yang paling utama.Terhadap Saidina Abu Bakar, Rasulullah selalu memujinya. Abu Bakarlah yang menemani Rasulullah ketika hijrah. Abu Bakarlah juga yang diminta menjadi imam ketika Rasulullah sakit. Mengenai Saidina Umar Al Khattab, Rasulullah pernah berkata: “Syaitan saja takut dengan Umar. Bila Umar melalui jalan yang satu, maka syaitan akan melalui jalan lain.”Dalam riwayat lain disebutkan bahawa nabi bermimpi meminum susu. Belum habis satu gelas, Muhammad memberikannya kepada Saidina Umar yang meminumnya sampai habis. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah. apa maksud (tawil) mimpimu itu?” Rasulullah menjawab: “Ilmu pengetahuan.”Rasulullah sangat menghargai Uthman bin Affan. Sebab itulah Uthman mengahwini dua puterinya hingga Uthman diberi julukkan: “Dzu an-Nurain.” (pemilik dua cahaya). Mengenai Saidina Ali bin Abi Talib pula, Rasulullah bukan saja menjadikannya menantu, tetapi banyak sekali riwayat yang menyebutkan keutamaan Ali seperti: “Aku ini kota ilmu dan Ali adalah pintunya. Barang siapa membenci Ali, maka ia orang munafik.” Bagaimana dengan diri kita? Jika ada seorang rakan kita yang mempunyai sembilan kelebihan dan satu kekurangan, maka kita jauh lebih tertarik untuk membicarakan yang satu itu dan melupakan yang sembilan.Ternyata kita belum suka memuji. Kita masih suka mencela dan belum mahu mengikuti sunnah nabi.Sahabat ditegur oleh Allah ketika mereka berlaku tidak sopan pada Muhammad. Suatu ketika, rombongan Bani Tamim menghadap Rasulullah. Mereka ingin Rasulullah menunjuk pemimpin buat mereka. Sebelum Nabi memutuskan siapa, Saidina Abu Bakar berkata: “Angkat Al-Qaqa bin Maqbad sebagai pemimpin.”Kata Saidina Umar: “Tidak, angkatlah Al-Aqra bin Habis.”Abu Bakar berkata kepada Umar: “Kamu hanya ingin membantah aku saja!” Umar menjawab: “Aku tidak bermaksud membantahmu.” Kedua-duanya berbantahan hingga suara mereka terdengar semakin keras. Waktu itu turunlah ayat yang bermaksud: “Hai orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menaikkan suaramu di atas suara nabi. Janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam percakapan dengan dia seperti mengeraskan suaramu ketika bercakap sesama kamu. Nanti hapus amalan kamu dan kamu tidak menyedarinya.” (Surah Al-Hujurat: Ayat 1 dan 2).Selepas mendengar teguran itu, Abu Bakar berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah, sejak sekarang aku tidak akan berbicara denganmu kecuali seperti seorang saudara yang membisikkan rahsia.”Umar juga dikatakan berbicara kepada nabi dengan suara yang lembut. Khabarnya, selepas peristiwa itu, Umar banyak sekali bersedekah kerana takut amalan yang lalu terhapus. Sesungguhnya, sahabat nabi takut terhapus amalan mereka kerana melanggar etika berhadapan dengan nabi.