Al-Quran Melahirkan Minda Positif Lagi Saintifik

Allah memberikan penghormatan kepada golongan yang suka mengkaji alam dan memanfaatkannya untuk mendekatkan diri kepadaNya. Allah menggelar mereka sebagai ulul albab dan hal ini amat signifikan bagi umat Islam. Ia merupakan rangsangan yang istimewa daripada Allah agar umat Islam mendekati alam untuk mengkajinya. Dengan itu ketakwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul albab ialah suka mengkaji dan bertafakur tentang penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji tentang kejadian langit dan bumi ialah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik. Justeru, ayat 190 dalam surah Ali Imran berhubung ulul albab merangsang umat Islam agar menjadi saintis. Saintis yang mahu dihasilkan mengikut formula al-Quran ialah saintis yang mengingati Allah di mana saja dia berada. Bukannya saintis yang ateis.
Al-Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik merupakan minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiannya konklusi terhadap apa yang dicerap. Minda saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.
Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya agar tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah berfirman,
Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.
Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran,
Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan (janganlah mengikut sesuatu) yang tidak terbukti kesahihannya.
Mementingkan Bukti Bukan Menjadi Pak Turut
Dalam surah al-Baqarah ayat 259, Allah menceritakan tentang seorang lelaki yang telah Allah matikan selama seratus tahun sebelum dihidupkannya semula. Kemudian Allah memaparkan kepadanya bukti-bukti tentang kekuasaan Allah Yang Menghidupkan dan Mematikan. Allah berfirman,
Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) seorang lelaki yang melalui sebuah negeri yang temboknya telah roboh menutupi atap-atapnya. Dia berkata: Bagaimanakah Allah akan menghidupkan negeri ini yang sudah hancur? Maka Allah mematikannya selama seratus tahun kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: Berapa lamakah kamu tinggal di sini? Dia menjawab: Satu atau setengah hari sahaja. Allah berkata: Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah. Lihatlah juga kepada keldaimu (yang telah menjadi tulang-belulang), dan Kami jadikan kamu sebagai tanda kekuasaan Kami bagi manusia. Lihatlah kepada tulang-belulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali dan Kami membalutinya dengan daging. Selepas jelas baginya (tentang bagaimana Allah menghidupkan orang mati) dia pun berkata: Sesungguhnya aku yakin bahawa Allah Maha berkuasa atas setiap sesuatu.
Lihatlah bagaimana bukti dan dalil menguatkan keyakinan lelaki ini terhadap Allah.
Demikian jugalah yang berlaku ke atas nabi Ibrahim. Dalam surah al-Baqarah ayat 260 Allah menceritakan tentang nabi Ibrahim yang suka menguatkan keyakinan baginda melalui bukti yang jelas. Baginda berkata,
“Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang bagaimana Kamu menghidupkan mereka yang mati. Berkata Allah: Apakah kamu tidak yakin? Berkata Ibrahim: Aku telah yakin akan tetapi agar hatiku mantap (dengan iman).”
Oleh sebab bukti dan dalil adalah penting, Islam tidak pernah memaksa orang-orang bukan Islam memeluk Islam. Sebaliknya mereka yang bukan Islam diutarakan hujah yang rasional tentang kebenaran Islam sekali gus menyerlahkan kepalsuan pegangan mereka. Sebagai contoh, ketika Allah berbicara tentang penyembahan patung-patung berhala, Allah menggunakan hujah serta dalil yang boleh difahami untuk menjelaskan tentang kesesatan amalan itu. Dalam surah al-Haj ayat 73 Allah berfirman,
Wahai manusia telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat mencipta seekor lalat pun walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah jugalah yang disembah.
Demikian jugalah pendekatannya ketika Allah berbicara tentang alam ghaib, sebagai contoh, kebangkitan semula selepas mati. Allah membuktikan kebenaran kejadian itu dengan mengaitkannya dengan fenomena alam yang boleh dilihat dan difahami oleh manusia. Dalam surah Faatir ayat 9 Allah berfirman,
Allah jualah yang menghantarkan angin dan angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu kepada negeri yang mati (kawasan kering kontang) dan Kami hidupkan bumi itu sesudah matinya (dengan menurunkan hujan). Demikianlah juga kebangkitan manusia (iaitu kehidupan selepas mati).
Pendekatan seperti ini mampu mengetuk minda serta menjentik hati. Ayat-ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa pencarian bukti dan dalil merupakan suatu yang amat dituntut oleh agama kerana melaluinya keyakinan dan cara hidup yang mantap akan terbina. Jika keyakinan seseorang telah pun mantap, ia akan memantapkan lagi keyakinan itu. Dalam konteks nabi Ibrahim, permintaan baginda untuk melihat bagaimana Allah menghidupkan orang yang mati bertujuan untuk meningkatkan lagi makam keyakinan baginda daripada ilmu al-yakin (keyakinan berdasarkan hujah ilmu) kepada ain al-yakin (keyakinan berdasarkan penglihatan). Hal ini disebutkan dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Minda Saintifik
Minda saintifik membenci khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul merupakan kepercayaan yang tidak berasaskan bukti lagi tidak masuk akal. Islam menentang kepercayaan yang seperti ini, sebagai contoh, kepercayaan terhadap konsep sial majal. Berhubung dengan ini Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud,
Tidak ada sial majal (dalam Islam).
Dalam riwayat yang lain oleh Bukhari, nabi bersabda, “Tidak ada sial pada bulan Safar.” Dalam sesetengah masyarakat kadang kala kesialan dikaitkan dengan bunyi binatang tertentu, contohnya burung hantu, ataupun suara-suara tertentu. Nabi menolak kepercayaan yang dangkal ini melalui sabda baginda yang bermaksud, “(Mempercayai) kesialan pada suara-suara (tertentu)….. ialah dari perbuatan syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.
Sebagai satu agama yang saintifik, Islam menerima penemuan serta kajian yang sah lagi autentik terutamanya di sudut duniawi. Nabi Muhammad merupakan contoh yang terbaik dalam aspek ini. Dalam aspek duniawi baginda amat menghormati rumusan dan konklusi yang diputuskan berdasarkan pengamatan serta bukti yang sahih. Pernah pada suatu ketika, baginda menegur sahabat-sahabat yang telah mengacukkan pohon-pohon kurma demi memperoleh hasil yang lebih baik. Kerana menghormati nabi, mereka tidak lagi mengacukkan pohon-pohon itu. Hasilnya ialah produktiviti yang menurun dan pengalaman ini akhirnya mereka ceritakan kepada baginda. Nabi terus menyuruh mereka meneruskan dengan amalan yang asal, iaitu mengacukkan pohon-pohon kurma, kerana telah terbukti cara itu mendatangkan hasil yang lebih baik. Berkaitan dengan insiden inilah, nabi bersabda (berpandukan hadis Muslim daripada Rafi’ bin Khadij), “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.”
Minda Progresif
Al-Quran merupakan sumber rujukan nombor satu bagi umat Islam. Ia dipenuhi dalil serta bukti yang pelbagai berkaitan dengan alam, manusia serta sistem hidup. Al-Quran berjaya membentuk umat Islam menjadi golongan yang progresif mindanya. Daripada al-Quran, umat Islam memiliki kefahaman yang betul tentang alam dan kehidupan.
Sebagai contoh, umat Islam, lama sebelum lahirnya teori Big Bang, sudah mengetahui bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum bermula proses kejadian alam. Pengetahuan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud,
Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian Kami pisahkan antara keduanya (fataq).” Kesan daripada ayat ini lahirlah pandangan sebagaimana yang diutarakan oleh ulama tabiin iaitu Imam Said bin Jubair yang telah meninggal lebih daripada seribu tahun dahulu. Beliau berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.
Tambahan daripada itu, ulama Islam dari kalangan sahabat-sahabat nabi dan generasi selepas mereka juga telah mengetahui, berpandukan ayat-ayat al-Quran, bahawa proses kejadian bayi melalui pelbagai tahap, bermula dengan percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan. Mereka tidak pernah mengatakan bahawa kejadian bayi bermula dengan percantuman antara air mani lelaki dengan darah haid wanita seperti yang dinyatakan oleh Aristotle. Sebagai contoh sahabat nabi Abdullah ibn Abbas berkata,
Air lelaki telah bertemu dengan air perempuan kemudian ia bergabung dan bercantum dan selepas itu ia berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain dan daripada satu keadaan ke satu keadaan yang lain dan daripada satu warna ke satu warna yang lain.
Pandangan yang sama juga telah dinyatakan oleh Imam Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, dan Rabie’ bin Anas, seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim.
Di barat pula keadaannya adalah berbeza. Pakar-pakar biologi di sana, pada abad ke-17 dan 18 Masihi, masih lagi terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama mengatakan bayi telah sedia wujud dalam sperma lelaki dalam bentuk yang kecil sebelum persetubuhan berlaku. Golongan ini dikenali sebagai homunculists. Golongan kedua pula yang dikenali sebagai golongan ovists, mempercayai bayi telah sedia wujud dalam ovari wanita. Apabila persetubuhan berlaku embrio-embrio kecil ini seolah-olahnya mendapat lampu hijau untuk terus hidup dan membesar. Hal ini dilaporkan di Human Developmental Anatomy Center (Research Collections, National Museum of Health and Medicine, Washington D.C.), di http://nmhm.washingtondc.museum/collections/hdac.
Lebih menakjubkan, para sahabat juga telah mengetahui bahawa kadar hujan yang turun di muka bumi adalah sama pada setiap tahun. Hal ini adalah berdasarkan beberapa firman Allah, antaranya ayat 11 dalam surah az-Zukhruf yang bermaksud,
Dialah yang menurunkan air dari langit mengikut kadar lalu Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati….
Berhubung dengan ini, Ibn Kathir meriwayatkan kenyataan Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Masud yang berkata,
Tidaklah hujan yang turun pada suatu tahun melebihi kadar hujan yang turun pada tahun-tahun yang lain.
Kenyataan mereka memang selari dengan penemuan sains moden kerana pusingan hidrologi dunia (hydrologic or water cycle) menunjukkan kadar hujan yang turun adalah sama pada setiap tahun. Hal ini disebutkan dalam Wikipedia Encyclopedia bersumberkan daripada NASA dan United States Geological Survey. Pakar-pakar menganggarkan air hujan yang turun dari langit ke bumi mencecah 513 trilion ton setiap setahun tanpa sebarang perubahan.
Justeru, ajaran Islam berjaya membentuk minda saintifik lagi progresif di kalangan umat. Kesan daripada itu maka lahirlah saintis-saintis Muslim yang agung lagi mengagumkan. Kekaguman ini pernah disuarakan oleh seorang tokoh sains dari barat, George Sarton (1884-1956), dalam buku beliau yang bertajuk Introduction to the History of Science (Carnegie Institution of Washington Publication No. 376, Baltimore, 1927). Beliau berkata,
Memadai rasanya jika kita sekadar menyebutkan beberapa nama tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di barat ketika itu. Antaranya ialah Jabir ibn Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani, al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi, Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, Ali ibn Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn al-Haitham, Ali Ibn Isa al-Ghazali, al-Zarqab dan Omar Khayyam. Inilah nama-nama yang mengagumkan dan lis ini adalah lebih panjang daripada ini. Jika ada seseorang memberitahu anda bahawa bumi Timur Tengah sebelum ini ketandusan sains, sebutkan nama-nama ini kepadanya. Kesemua mereka ini berkembang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi

Keharmonian antara Al-Quran dan Sains

Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.
Sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis.
Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”Ada ulama yang mentafsirkan ayat ini secara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar.”
Walau bagaimanapun, dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar.” Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.
Seterusnya, berhubung dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan pada diri mereka sendiri,” Imam Ibn Kathir berkata, “Berkemungkinan yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah apa yang terdapat dalam tubuh badan manusia yang menakjubkan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam ilmu tasyrih (anatomi). Kesemua ini akan menampakkan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta.” Untuk mengenali organ serta memahami sistem yang terdapat dalam tubuh manusia, sains juga diperlukan.
Konklusi yang dibuat as-Syeikh Said Hawa berhubung ayat ini amat menarik sekali. Dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”
Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, “Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran.”
Justeru, ayat ini merupakan jambatan antara sains dan Quran. Ia mengisyaratkan bahawa penemuan-penemuan sains masa kini yang berkaitan dengan alam dan manusia akan menampakkan, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran al-Quran. Yang penting ialah kajian sains yang dilakukan mestilah merupakan suatu kajian yang sahih dan ayat al-Quran yang hendak ditafsirkan mestilah merupakan satu ayat yang boleh dikaitkan dengannya, selepas merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Justeru, penemuan-penemuan sains masa kini boleh dimanfaatkan untuk memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran.

Solat dan Khusyuk

Antara ibadah yang penting yang wajib dilakukan ialah solat. Ia amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun solat tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Justeru, untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.
Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat
Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”
Apakah Maksud Khusyuk?
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru khusyuk di dalam solat adalah penting. Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata, “Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”
Cara Untuk Khusyuk
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Untuk membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah kiasannya dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”
Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.
Faedah-Faedah Solat
Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”
Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.
Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.
Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.
Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien dalam setiap pekerjaan.
Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunah..” Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”
Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaku.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi, solat diumpamakan seperti kekasih hati. Dalam sebuah riwayat oleh Imam An-Nasai, nabi bersabda, “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.”